E-JURNAL

Blog ini adalah merupakan e-jurnal tidak rasmi bagi Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI). Menyiarkan artikel-artikel berkaitan geografi dan aktiviti-aktiviti persatuan. Apa sahaja penulisan daripada anda sama ada artikel ilmiah atau bukan ilmiah, aktiviti persatuan atau kelas, kajian, rencana, pengalaman praktikum, pengumuman, cadangan, ulasan atau pandangan, silalah hantarkan ke: geo_upsi@yahoo.com.my

Name:
Location: Tanjung Malim, Perak, Malaysia

Friday, June 02, 2006

GEOGRAFI DAN KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1.0 PENDAHULUAN

Perkataan geografi berasal dari perkataan Yunani iaitu gabungan Ge (γη) atau Gaea (γεια), bermaksud "bumi", dan graphein (γραφειν) bermaksud "untuk menerangkan" dan "untuk menuliskan tentang". Perkataan ini dibentuk oleh seorang sarjana Yunani iaitu Eratosthenes, seorang pengarah perpustakaan di Mesir yang mana beliau juga dianggap sebagai “bapa geografi.” (James, P.E & Martin, G. J., 1991)
Sejak zaman klasik hingga zaman kontemporari ini terdapat banyak definisi yang diutarakan oleh ahli-ahli geografi untuk menerangkan tentang disiplin ilmu geografi dan secara amnya tokoh-tokoh ini tidak pernah lari dari membincangkan tentang ruang dan tempat. Dalam konteks paling mudah disiplin geografi difahami dengan pengetahuan tentang nama tempat atau dalam kata lain persoalan “di mana?” telah menjadi asas untuk mempelajari geografi . Namun begitu menurut William Huges (1863), yang dipetik dari sebuah ensiklopedia internet (http://wikipedia.org.com, 2006 ) menyatakan:

"Mere place names are not geography. To know by heart a whole gazeteer full of them would not, in itself, constitute anyone a geographer. Geography has higher aims than this: it seeks to classify phenomena (alike of the natural and of the political world insofar as it treats of the latter) to compare, to generalise, to ascend from effects to causes and in doing so to trace out the great laws of nature and to mark their influence upon man. In a word, geography is a science, a thing not of mere names, but of argument and reason, of cause and effect."

Maka persoalan tentang “di mana?” tidak terhenti disitu, ia menimbulkan persoalan lain seperti “bila?” “kenapa?” “kenapa di sana?” dan “bagaimana?” sehinggalah satu jawapan yang tepat, teratur dan terperinci diperolehi. Secara rasmi geografi ditakrifkan sebagai menghurai dan menginterpretasi secara tepat, teratur/tertib dan munasabah ciri-ciri permukaan bumi yang berbeza dari satu tempat ke satu tempat lain.

2.0 KEPENTINGAN GEOGRAFI DALAM MEMPENGARUHI KEHIDUPAN MANUSIA.
2.1 Intipati Ilmu Geografi

Penekanan dalam bidang geografi dikatakan boleh berubah dari semasa ke semasa dimana pada waktu dahulu ia lebih tertumpu pada pemetaan yang berkaitan dengan penjelajahan dan pelayaran. Bermula dari abad ke 18 geografi moden yang lebih sistematik muncul dimana Alexander Von Humboldt (1769-1859) dan Karl Ritter (1779-1859) telah memperkenalkan sains geografi yang bersifat deskriktif. Humboldt dikenali sebagai “bapa” disiplin geografi fizikal moden kerana kerja beliau lebih kepada bidang fizikal; sementara Ritter yang banyak membuat kajian kependudukan dan aktiviti manusia, dikenali sebagai “perintis” disiplin geografi manusia dan kawasan. (Katiman Rostam, 2002)
Pembahagian geografi kepada disiplin geografi fizikal dan disiplin geografi manusia bolehlah difahami dengan geografi fizikal merujuk kepada kajian tentang; batuan dan galian/mineral, tanih, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, atmosfera, sungai dan sumber air, alam sekitar, cuaca dan suhu serta laut, manakala geografi manusia merujuk kepada kajian tentang penduduk, petempatan, kegiatan ekonomi, aktiviti rekreasi/pelancongan, pengangkutan dan perhubungan, agama dan kebudayaan, migrasi penduduk, sistem pertanian serta urbanisasi dan pembangunan...

2.2 Pengaruh geografi dalam hidup manusia

Daripada skop disiplin bidang geografi yang telah dinyatakan sebelum ini adalah sangat jelas bahawa kesemuanya adalah sangat berkait rapat dan penting kepada kehidupan manusia kerana ia bersangkutan dengan kehidupan manusia itu sendiri dan alam sekeliling yang mereka diami. Pertanyaan-pertanyaan seperti “apa?” “di mana?” bila?” “kenapa?” dan “bagaimana?” sebenarnya adalah untuk mencari jawapan dan penyelesaian bagi mencapai satu kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
Melalui geografi kita memikirkan cara yang paling teliti bagaimana menjadi khalifah dan mentadbir muka bumi ini dengan bijak, contohnya kita bukan sahaja memikirkan dimanakah sumber bumi seperti gas, minyak dan arang batu boleh ditemui malahan juga memikirkan bagaimana ia terhasil, adakah ia boleh dihasilkan semula, adakah ia akan habis dan apakah kesannya kepada alam sekitar.
Secara khususnya pengaruh geografi kepada kehidupan manusia dapatlah dilihat dalam bahagian-bahagian yang dinyatakan berikut:

1. Memahami bumi dan habitatnya

Apabila mempelajari geografi sebenarnya kita cuba untuk memahami bumi ini dan penghuni-penghuninya termasuk manusia dengan lebih jelas dan terperinci. Kita mengkaji bagaimana sistem bumi ini beroperasi supaya kita dapat menghargai dan mentadbirnya. Kita mengkaji bagaimana berlakunya gempa bumi, gunung berapi, tsunami, taufan, banjir dan sebagainya supaya kita dapat bersedia untuk menghadapinya. Kita mengkaji manusia dan pola-polanya, bagaimana manusia menguruskan hidup dan menjalankan aktiviti supaya kita dapat memahami kepelbagaian manusia contohnya bagaimana berbezanya antara kehidupan manusia di Eropah dan Asia atau juga yang lebih terperinci contohnya perbezaan penduduk Kuala Lumpur dan Kuala Lipis.
Menurut Armbruster, B.B. et.al (1983) geografi membolehkan kita memahami manusia – yang tinggal di tempat lain, yang tinggal bersama kita, malahan diri kita. Memahami dunia dan manusia ini secara asasnya sangat penting dalam menguruskan kehidupan manusia itu sendiri. Ia membantu kita bagaimana untuk berinteraksi di antara satu golongan dengan golongan yang lain malahan di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa manusia diciptakan dengan pelbagai bangsa supaya dapat saling mengenal.
Saling pemahaman dan interaksi antara manusia telah lama berlangsung melalui pendekatan geografi sejak zaman klasik lagi dimana melalui penjelajahan dan pemetaan telah mendekatkan masyarakat yang dipisahkan oleh jarak. Kajian-kajian berkenaan sesebuah masyarakat di tempat-tempat tertentu telah membolehkan kita mengenali pelbagai budaya dan dapat memupuk sifat toleransi. Jelasnya kita dapat memahami cara hidup dan budaya masyakat eropah di barat, masyarakat eskimo di kutub utara atau masyarakat orang asli di New Guinea adalah melalui geografi.

2. Meramal dan merancang masa depan.

Dalam bidang geografi, yang paling penting dalam meramal perkara yang akan berlaku pada masa hadapan adalah penggunaan pendekatan yang saintifik dan sistematik. Didalam disiplin geografi fizikal, fenomena yang diramal contohnya adalah seperti cuaca dan bencana alam bagi merancang aktiviti dan menyelamatkan nyawa manusia. Menurut Willy H.K. Lee & Epimosa, J.M. (2003), teknologi paling terkini dalam memberi amaran awal gempa bumi adalah daripada beberapa saat sehingga sepuluh saat sebelum gegaran kuat dimana ianya telah berjaya menyelamatkan banyak nyawa dan harta benda.
Dalam disiplin geografi manusia pula kajian tentang penduduk, petempatan, kegiatan ekonomi dan sebagainya dapat meramal hala tuju sesebuah wilayah atau negara. Malahan maklumat-maklumat yang diperolehi mungkin akan mengubah dasar yang merancang perkembangan sesebuah negara.
Contoh paling jelas bagaimana kajian kependudukan mempengaruhi perkembangan negara adalah seperti yang pernah berlaku di Singapura. Pada tahun 1972, daripada unjuran pertumbuhan penduduk yang dilakukan, kerajaan Singapura mendapati pada masa hadapan mungkin akan berlaku perlimpahan penduduk yang tidak dapat ditampung oleh negara itu sama ada dari segi ruang fizikalnya mahupun ekonomi dan telah menyebabkan polisi satu pasangan dua anak dikuatkuasakan. Polisi-polisi yang tidak menggalakkan anak lebih dari dua diperkenalkan seperti tidak memberikan cuti bersalin dan insuran kesihatan untuk anak ketiga, menggalakkan pengguguran dan pemandulan dan didiskriminasi dalam sistem pendidikan. Akibatnya pada sekitar 1980-an kadar pertumbuhan telah jatuh di bawah paras yang diharapkan untuk kesinambungan populasi dan didapati sekiranya keadaan ini berterusan struktur umur penduduknya pada masa hadapan akan menghasilkan satu keadaan yang tidak produktif apabila golongan muda berkurangan berbanding golongan tua.
Melihat kepada perkembangan tersebut, kerajaan Singapura mengubah semula dasarnya apabila mempunyai keluarga lebih daripada 2 digalakkan. Bajet negara pada tahun 1990 telah memperkenalkan polisi-polisi yang menggalakkan anak lebih daripada dua dimana ia bertentangan dengan polisi yang diperkenalkan sebelum ini. Malahan kerajaan Singapura menawarkan untuk memberi kerakyatan kepada 100,000 orang penduduk cina Hong Kong apabila wilayah itu diserahkan kepada China pada tahun 1997. Menurut Fellmann, J.D et.al (1999) keadaan ini disebabkan kebimbangan akan kehilangan potensi pertumbuhan dan kekuatan negara yang bergantung kepada golongan muda serta tenaga kerja yang sepadan untuk menggantikan golongan tua.
Berdasarkan contoh yang berlaku di Singapura maka adalah jelas bagaimana maklumat geografi boleh mempengaruhi polisi kerajaan dan perkembangan negara tersebut dimana akhirnya ia mencorakkan struktur penduduknya. Tanpa membincangkan sama ada berlaku kesan positif atau negatif, dari kedua-dua keadaan sama ada situasi yang pertama atau kedua, apa yang boleh kita petik adalah bagaimana Singapura mengeksploitasi maklumat unjuran penduduknya untuk merancang pertumbuhan penduduk negara tersebut pada masa hadapan.

4. Pertanian, perindustrian dan perbandaran.

Pengkajian tentang pertanian, perindustrian dan perbandaran yang lebih sistematik telah diperkenalkan oleh ahli geografi melalui teori dan konsep tertentu seperti teori Von Thunen dalam pertanian, teori Weber dalam perindustrian dan model-model perbandaran yang diperkenalkan oleh Burgess, Hoyt, Harris dan lain-lain. Melalui pengkajian-pengkajian seperti ini dan dan lanjutan perbincangan dan kritikan keatasnya oleh ahli geografi terkemudian, proses mewujudkan satu habitat manusia dan kegiatanya dapat dikembangkan dengan lebih optimum, teratur dan sistematik.
Melalui geografi, isu-isu seperti perletakan, penyebaran dan pengkelasan diperbincangkan dalam pembangunan sesuatu ruang dimana hasil akhirnya akan mewujudkan satu habitat manusia yang teratur sama ada dari segi jaringan pengangkutannya, ekonomiknya, struktur sosial masyarakatnya dan ruang fizikalnya. Sekiranya dirujuk kepada kehidupan manusia, sumbangan geografi dalam pertanian, perindustrian dan perbandaran ini ternyata sangat besar terutamanya yang berkaitan dengan perletakan dan ruang. Di negara kita pendekatan ilmu geografi ini telah digunakan dalam pembangunan kawasan pertanian yang sistematik seperti pembangunan tanah rancangan Felda, pembangunan bandar baru dan kawasan-kawasan perindustrian.

5. Kartografi

Pengaruh paling asas geografi kepada manusia sejak dahulu adalah melalui pemetaan atau kartografi. Pada masa dahulu melalui pemetaan manusia dapat melakukan penjelajahan dan pelayaran dengan lebih berkesan malahan sehingga kini pemetaan dianggap sebagai “core business” dalam bidang geografi pada pandangan umum walaupun hakikatnya bidang geografi merangkumi disiplin yang kebih luas lagi.
Pada masa kini, teknik pemetaan telah berkembang dengan pesat dan kompleks sejajar perkembangan teknologi moden sehingga memajukan sebuah cabang disiplin geografi yang baru iaitu GIS (Geographical Information System) sekitar tahun 80an. (Robinson, G.M. 1998)
Melalui GIS, teknik kartografi telah berevolusi di mana sistem ini bukan sahaja terdiri daripada kartogarfi digital, malahan berpaut dengan data-data lain seperti maklumat demografi contohnya populasi, kepadatan dan komposisi serta maklumat fizikal yang lebih terperinci.
Kesimpulannya pemetaan yang dahulu kepentingannya kepada masyarakat hanya dari segi penentuan lokasi, kini telah semakin berkembang dengan kepelbagaian aplikasinya. Kemungkinan pada masa hadapan dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, aplikasi GIS akan digunakan dalam kehidupan seharian kita seperti pergerakan, trafik, cuaca dan keselamatan.

6. Pemeliharaan Alam sekitar

Sebagai satu bidang yang mengkaji hubungan manusia dengan alam, secara logiknya dengan ilmu geografi ia akan menjadikan kita lebih peka terhadap isu alam sekitar. Contoh paling mudah dengan memahami kitaran hidrologi, secara tidak langsung kita akan menghargai kewujudan hutan sebagai kawasan tadahan hujan. Kita mengetahui bahawa sekiranya kawasan tadahan ini diganggu ia akan menyebabkan gangguan terhadap sistem hidrologi tersebut dan akhirnya akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, banjir lumpur dan gangguan terhadap sistem sungai juga sumber air. Kita juga mengetahui pembebasan gas rumah hijau yang keterlaluan ke atmosfera akan menyebabkan berlakunya pemanasan global dan mempunyai kesan buruk kepada hidupan di bumi termasuk manusia.
Secara ringkasnya geografilah yang dapat menjadikan seseorang itu lebih mengambil berat terhadap alam sekitar dan dapat pula melihatnya dalam konteks yang lebih terperinci, saintifik dan jelas supaya dapat dijadikan hujah yang berkesan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat umum tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

3.0 RUMUSAN

Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan bahawa geografi sememangnya sangat penting dalam mempengaruhi kehidupan manusia kerana geografi itu sendiri sentiasa berubah mengikut zaman serta perkembangan teknologi dan ilmu.
Stuckey, W.K (1971) menyatakan bahawa geografi adalah berkenaan apa yang manusia buat, apa yang manusia mahu, bagaimana manusia berubah dan bagaimana persekitaran fizikal mengubah manusia lalu merumuskan bahawa; “Geography lives!”




BIBLIOGRAFI

Armbruster, B.B, Mitsakos & C.L, Rogers, V.R. (1983) Earth’s geography and environment. Lexington, Massachusetts : Ginn and Company

Earl, B.S. (1967) Fundamentals of geography. U.S.A : John Wiley & sons,Inc

Fellmann, J.D, Getis, A. & Getis, J. (1999) Human Geography : Landscapes of human activities. USA: McGraw-Hill Companies, Inc.

James, P.E & Martin, G. J. (1991). Dunia Serba Mungkin: Sejarah idea geogafi. Terj. Mahindar Santokh Singh. Kuala Lumpur : DBP.

Katiman Rosman (2002) Prinsip asas persekitaran manusia. Bangi : Penerbit U.K.M

Robinson, G.M . (1998). Method and techniques in human geography. England: John Wiley & sons,Inc

Stuckey W.K. (1971). Geography lives!. Dlm. Ball, J.M, Streinbrink, J.E dan Stoltman, J.P (editor). The sosial sciences and geographic education : a reader. Hlm. 307-313. Toronto: John Wiley & sons,Inc

Tim Unwin . (1992). The place of geography. England: Longman Group Limited

Willy H.K. Lee & Epimosa, J.M. (2003). Earthquake early system warning: current status and perspective. Dlm. Zchan, J. & Kuppers, A.N. (pnyt). Early warning system for natural disaster reduction. New York : Springer-Verlag Berlin heildelberg.

Geography. (2006) (atas talian) http://en.wikipedia.org/wiki/Geography (15 januari 2006).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home