E-JURNAL

Blog ini adalah merupakan e-jurnal tidak rasmi bagi Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris(UPSI). Menyiarkan artikel-artikel berkaitan geografi dan aktiviti-aktiviti persatuan. Apa sahaja penulisan daripada anda sama ada artikel ilmiah atau bukan ilmiah, aktiviti persatuan atau kelas, kajian, rencana, pengalaman praktikum, pengumuman, cadangan, ulasan atau pandangan, silalah hantarkan ke: geo_upsi@yahoo.com.my

Name:
Location: Tanjung Malim, Perak, Malaysia

Saturday, August 19, 2006

AKAN DATANG

GERAI GEOGRAFI
Minggu Konvokesyen
SILA DATANG BERAMAI-RAMAI
Macam-macam ada!

Baca Selengkapnya!

JABATAN GEOGRAFI

KAJIAN LAPANGAN DI CAMERON HIGHLANDS
CAMERON HIGHLANDS, PAHANG
10 - 13 Ogos 2006
Pelajar Semester 2, 6 dan 7, Pendidikan Geografi

Free Image Hosting at www.ImageShack.usFree Image Hosting at www.ImageShack.us


Baca Selengkapnya!

Friday, August 18, 2006

PERSATUAN GEOGRAFI

HARI INTEGRASI PERSATUAN GEOGRAFI O6
Teluk Batik, Lumut
4-6 Ogos 2006
Anjuran: Persatuan Geografi UPSI

Free Image Hosting at www.ImageShack.usFree Image Hosting at www.ImageShack.us


Baca Selengkapnya!

HUBUNGAN ETNIK

PROGRAM JALAN-JALAN MARI MAKAN
Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah
Sungkai, Perak
30 Julai 2006
Pelajar Geografi Semester 2

Free Image Hosting at www.ImageShack.usFree Image Hosting at www.ImageShack.us


Baca Selengkapnya!

Friday, July 07, 2006

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT KEMBALI
kepada Mahasiswa-mahasiswa lama dan baru sarjana muda pendidikan dan geografi.
Tahniah kepada pelajar baru dan kepada pelajar lama, semoga terus maju. Semoga terus sukses dan tahniah kerana akan menamatkan pengajian kepada pelajar yang sedang menjalani praktikum.

Baca Selengkapnya!

Tuesday, June 06, 2006

HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA


Hari alam sekitar sedunia disambut pada setiap 5 jun setiap tahun dimana ia telah dimulakan pada tahun 1972 yang ditubuhkan melalui perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Setiap tahun sebuah bandar atau negara dipilih sebagai tuan rumah dengan pelbagai tema. Pada tahun ini sambutan antarabangsa utama diadakan di Algeria dengan topik berkenaan gurun (desert) dan penggurunan (desertification) dengan slogan; Don’t Desert Drylands.

Di negara kita sambutan hari alam sekitar ini disambut dengan satu berita yang menggembirakan apabila kerajaan memutuskan setiap pembangunan tanpa mengira keluasannya perlu menyediakan laporan EIA ( Kajian Kesan Alam Sekitar) dimana akan dilakukan pindaan pada akta Kawalan Alam Sekitar 1974. Sebelum ini hanya projek pembangunan yang melebihi 50 hektar perlu menyediakan laporan EIA hingga menyebabkan segelintir pemaju mengeksploitasinya dengan mengecilkan projek pembangunannya kepada fasa-fasa kecil untuk mengelak daripada menyediakan laporan EIA. Penyediaan laporan EIA adalah sangat penting bagi memastikan pembangunan yang dijalankan tidak memberi kesan buruk sama ada kepada alam sekitar atau manusia dan persekitarannya.

Fakta tentang penggurunan dan dryland boleh di baca dan dimuat turun di:

Baca Selengkapnya!

Saturday, June 03, 2006

GUTEN TAG! KENALI JERMAN; TUAN RUMAH PIALA DUNIA.



Bermula 9 jun hingga 9 Julai 2006 ini, acara yang paling dinantikan oleh seluruh penduduk bumi ini; piala dunia, akan berlangsung di Jerman. Dengan slogan “A time to make friends” Jerman akan menjadi perhatian dengan kebanjiran peminat-peminat bola sepak dari seluruh pelusuk dunia dan tumpuan berjuta-juta manusia melalui kaca TV. Tapi tahukah anda dimanakah Jerman? Apa yang ada di sana? Bagaimanakah penduduknya? Bagaimana cuacanya? Sekiranya anda tidak pasti jawapannya, entri ini serba sedikit cuba memperkenalkan anda kepada Jerman, tuan rumah bolasepak piala dunia ini. Heißen Sie Willkommen nach Deutschland!


Jerman atau Persekutuan Republik Jerman, terletak di tengah-tengah Eropah. Di sebelah utaranya bersempadan dengan Denmark manakala di sebelah timurnya adalah Poland dan Republik Czech dan di sebelah selatannya bersempadan dengan Austria dan Switzerland. Di bahagian baratnya adalah Perancis, Luxembourg, Belgium dan Belanda. Di bahagian utaranya juga terdapat Laut Selatan dan Laut Baltik.

(Klik pada gambar untuk lebih Jelas)

Ibu negaranya adalah Berlin dan mempunyai 16 buah negeri. Berkeluasan 357,050 km2 dengan anggaran penduduk pada tahun 2005 seramai 82,689,000 orang dan dengan kepadatan 230.9/km2. Bahasa rasminya adalah bahasa Jerman (Deutsch) dengan agama kristian (protestant dan katolik) menjadi amalan lebih 55 juta (66%) penduduknya. (Paus gereja roman katolik pada masa kini adalah daripada Jerman iaitu Pope Benedict XVI.) Dianggarkan 23.5 juta (28.5%) tidak berpegang pada agama (atheis dan agnostik) manakala 3.2 juta beragama Islam (kebanyakan dari Turki dan negara bekas Yugoslavia). Penganut agama lain adalah seperti Yahudi, Kristian Ortodok, Kristian Apostolik Baru dan kumpulan-kumpulan kecil lain.
Secara keseluruhannya Jerman adalah negara bersuhu sederhana dan mengalami 4 musim. Di bahagian utara dan timur laut, cuacanya sangat dipengaruhi Lautan Baltik yang mengeluarkan kabus dan awan rendah serta hujan yang sangat ketara sepanjang tahun menyebabkan musim sejuk dan musim panas secara relatifnya adalah sederhana. (Di bahagian utara contohnya di Hamburg secara puratanya musim sejuknya mencecah -0.3 darjah celcius dan musim panasnya 17.5 darjah celcius.) Namun begitu di sebelah selatan, musim panasnya adalah sangat sejuk dalam jangkamasa yang lama dan pada musim panas boleh menjadi sangat panas dan kering. (Di bahagian selatan, contohnya Munich, secara puratanya musim sejuknya mencecah -2.2 darjah celcius dan musim panasnya 17.6 darjah celcius dan pada satu-satu masa tidak mustahil boleh mencecah 30 darjah celcius. )
Setelah penyatuan Jerman Barat dan Jerman Timur dan runtuhnya Tembok Berlin pada 3 oktober 1990, negeri-negeri di bawah Persekutuan Republik Jerman adalah Baden-Württemberg, Bavaria, Berlin, Brandenburg, Bremen, Hamburg, Hesse, Mecklenburg-Western Pomerania, Lower Saxony, North Rhine-Westphalia, Rhineland-Palatinate, Saarland, Saxony, Saxony-Anhalt, Schleswig-Holstein dan Thuringia. Bandar-bandar terbesar adalah Berlin (3.4 juta penduduk), Hamburg (1.7 juta penduduk) Munich (1.4 juta penduduk) Colonge (1.0 juta penduduk) dan Frankfurt am Main (0.7 juta penduduk).
Pada Piala dunia yang akan berlangsung nanti, 12 buah stadium akan digunakan dimana Stadium utama yang akan menjadi gelanggang perlawanan akhir ialah stadium Olympiastadium, terletak di Ibu negara Jerman iaitu Berlin. Stadium Westfalenstadion pula terletak di Dortmund, antara bandar utama di negeri North Rhine-Westphalia. Stadium Waldstadion pula terletak di Frankfurt, Hesse manakala Stadium Gelsenkirchen terletak di Gelsenkirchen, North Rhine-Westphalia dan Stadium Hamburg terletak di Hamburg, bandar raya kedua terbesar di Jerman. Stadium Niedersachsenstadion terletak di Hanover, Lower Saxony manakala Stadium Fritz-Walter, terletak di Kaiserslautern, Rhineland-Palatinate. Stadium Zentralstadio pula terletak di Leipzig, Saxony, satu-satunya lokasi piala dunia di bekas Jerman Timur. Stadium Munich pula terletak di Munich, ibu negeri Bavaria dan bandar raya ketiga terbesar Jerman, manakala stadium Frankenstadion lokasinya adalah di bandar Nurnberg, salah sebuah bandar utama Bavaria. Stadium Gottlieb-Daimler pula terletak di Stuttgart, Baden-Württemberg, bandar yang menjadi lokasi pertama penciptaan kereta di dunia dan menjadi ibu pejabat Daimler-Benz dan Porsche.
Jerman adalah kuasa ekonomi utama Eropah dan ketiga dunia di belakang Amerika Syarikat dan Jepun. Jerman juga merupakan pengeksport utama dunia meninggalkan Amerika Syarikat dan China. Eksport utama Jerman adalah jentera, kenderaan, bahan kimia, besi, bahan makanan, tekstil dan tenaga elektrik. Jenama-jenama terkenal seperti BMW, Mercedes, Porche, Volkswagen, BASF, Bosch, E.ON dan Siemen adalah dari Jerman.
Pertanian di Jerman semakin mengecil dengan tanaman utamanya adalah kentang, gandum dan barli. Namun begitu Jerman adalah antara pengeluar susu, barangan tenusu dan daging terbesar dunia. Jerman juga memiliki sumber semulajadi yang semakin berkurangan, dan keluaran utamanya adalah arang batu.
Sebagai negara yang terletak di tengah-tengah Eropah, sistem pengangkutannya menjadi transit utama yang menyaksikan isipadu trafiknya adalah sangat tinggi. Keadaan ini menyebabkan Jerman menjadi salah sebuah negara yang memiliki sistem pengangkutan yang paling padat di dunia, dan Jerman juga merupakan negara pertama yang memperkenalkan lebuhraya (autobahn). Di autobahn ini tiada had yang tidak ditetapkan, anda boleh memandu selaju manapun dan kenderaan yang tidak dapat mencapai kelajuan 60km/h tidak dibenarkan menggunakan autobahn ini. Walaubagaimanapun had kelajuan maksima yang digalakkan adalah 130km/h (tidak hairanlah Jerman adalah negara kelahiran Michael Schumacher).

Jerman juga terkenal sebagai das Land der Dichter und Denker (Tanah kelahiran pemuisi dan pemikir) dimana antara tokoh-tokoh terkenalnya adalah seperti Magnus, Leibniz, Kant, Marx, Feuerbach, Schopenhauer, Schweitzer, Nietzsche, Husserl, Hartmann, Jaspers, Luxemburg, Lessing, Goethe, Schiller dan Kleist. Jerman juga sangat dikenali dengan Adolf Hitler, pemimpin Nazi yang memerintah Jerman dari tahun 1934 hingga kematiannya pada tahun 1945.

Sekian.

Haben Sie eine nette Reise nach Deutschland!


Baca Selengkapnya!

Friday, June 02, 2006

GEOGRAFI DAN KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1.0 PENDAHULUAN

Perkataan geografi berasal dari perkataan Yunani iaitu gabungan Ge (γη) atau Gaea (γεια), bermaksud "bumi", dan graphein (γραφειν) bermaksud "untuk menerangkan" dan "untuk menuliskan tentang". Perkataan ini dibentuk oleh seorang sarjana Yunani iaitu Eratosthenes, seorang pengarah perpustakaan di Mesir yang mana beliau juga dianggap sebagai “bapa geografi.” (James, P.E & Martin, G. J., 1991)
Sejak zaman klasik hingga zaman kontemporari ini terdapat banyak definisi yang diutarakan oleh ahli-ahli geografi untuk menerangkan tentang disiplin ilmu geografi dan secara amnya tokoh-tokoh ini tidak pernah lari dari membincangkan tentang ruang dan tempat. Dalam konteks paling mudah disiplin geografi difahami dengan pengetahuan tentang nama tempat atau dalam kata lain persoalan “di mana?” telah menjadi asas untuk mempelajari geografi . Namun begitu menurut William Huges (1863), yang dipetik dari sebuah ensiklopedia internet (http://wikipedia.org.com, 2006 ) menyatakan:

"Mere place names are not geography. To know by heart a whole gazeteer full of them would not, in itself, constitute anyone a geographer. Geography has higher aims than this: it seeks to classify phenomena (alike of the natural and of the political world insofar as it treats of the latter) to compare, to generalise, to ascend from effects to causes and in doing so to trace out the great laws of nature and to mark their influence upon man. In a word, geography is a science, a thing not of mere names, but of argument and reason, of cause and effect."

Maka persoalan tentang “di mana?” tidak terhenti disitu, ia menimbulkan persoalan lain seperti “bila?” “kenapa?” “kenapa di sana?” dan “bagaimana?” sehinggalah satu jawapan yang tepat, teratur dan terperinci diperolehi. Secara rasmi geografi ditakrifkan sebagai menghurai dan menginterpretasi secara tepat, teratur/tertib dan munasabah ciri-ciri permukaan bumi yang berbeza dari satu tempat ke satu tempat lain.

2.0 KEPENTINGAN GEOGRAFI DALAM MEMPENGARUHI KEHIDUPAN MANUSIA.
2.1 Intipati Ilmu Geografi

Penekanan dalam bidang geografi dikatakan boleh berubah dari semasa ke semasa dimana pada waktu dahulu ia lebih tertumpu pada pemetaan yang berkaitan dengan penjelajahan dan pelayaran. Bermula dari abad ke 18 geografi moden yang lebih sistematik muncul dimana Alexander Von Humboldt (1769-1859) dan Karl Ritter (1779-1859) telah memperkenalkan sains geografi yang bersifat deskriktif. Humboldt dikenali sebagai “bapa” disiplin geografi fizikal moden kerana kerja beliau lebih kepada bidang fizikal; sementara Ritter yang banyak membuat kajian kependudukan dan aktiviti manusia, dikenali sebagai “perintis” disiplin geografi manusia dan kawasan. (Katiman Rostam, 2002)
Pembahagian geografi kepada disiplin geografi fizikal dan disiplin geografi manusia bolehlah difahami dengan geografi fizikal merujuk kepada kajian tentang; batuan dan galian/mineral, tanih, haiwan, tumbuh-tumbuhan, air, atmosfera, sungai dan sumber air, alam sekitar, cuaca dan suhu serta laut, manakala geografi manusia merujuk kepada kajian tentang penduduk, petempatan, kegiatan ekonomi, aktiviti rekreasi/pelancongan, pengangkutan dan perhubungan, agama dan kebudayaan, migrasi penduduk, sistem pertanian serta urbanisasi dan pembangunan...

2.2 Pengaruh geografi dalam hidup manusia

Daripada skop disiplin bidang geografi yang telah dinyatakan sebelum ini adalah sangat jelas bahawa kesemuanya adalah sangat berkait rapat dan penting kepada kehidupan manusia kerana ia bersangkutan dengan kehidupan manusia itu sendiri dan alam sekeliling yang mereka diami. Pertanyaan-pertanyaan seperti “apa?” “di mana?” bila?” “kenapa?” dan “bagaimana?” sebenarnya adalah untuk mencari jawapan dan penyelesaian bagi mencapai satu kehidupan yang lebih baik dan sempurna.
Melalui geografi kita memikirkan cara yang paling teliti bagaimana menjadi khalifah dan mentadbir muka bumi ini dengan bijak, contohnya kita bukan sahaja memikirkan dimanakah sumber bumi seperti gas, minyak dan arang batu boleh ditemui malahan juga memikirkan bagaimana ia terhasil, adakah ia boleh dihasilkan semula, adakah ia akan habis dan apakah kesannya kepada alam sekitar.
Secara khususnya pengaruh geografi kepada kehidupan manusia dapatlah dilihat dalam bahagian-bahagian yang dinyatakan berikut:

1. Memahami bumi dan habitatnya

Apabila mempelajari geografi sebenarnya kita cuba untuk memahami bumi ini dan penghuni-penghuninya termasuk manusia dengan lebih jelas dan terperinci. Kita mengkaji bagaimana sistem bumi ini beroperasi supaya kita dapat menghargai dan mentadbirnya. Kita mengkaji bagaimana berlakunya gempa bumi, gunung berapi, tsunami, taufan, banjir dan sebagainya supaya kita dapat bersedia untuk menghadapinya. Kita mengkaji manusia dan pola-polanya, bagaimana manusia menguruskan hidup dan menjalankan aktiviti supaya kita dapat memahami kepelbagaian manusia contohnya bagaimana berbezanya antara kehidupan manusia di Eropah dan Asia atau juga yang lebih terperinci contohnya perbezaan penduduk Kuala Lumpur dan Kuala Lipis.
Menurut Armbruster, B.B. et.al (1983) geografi membolehkan kita memahami manusia – yang tinggal di tempat lain, yang tinggal bersama kita, malahan diri kita. Memahami dunia dan manusia ini secara asasnya sangat penting dalam menguruskan kehidupan manusia itu sendiri. Ia membantu kita bagaimana untuk berinteraksi di antara satu golongan dengan golongan yang lain malahan di dalam Al-Quran dinyatakan bahawa manusia diciptakan dengan pelbagai bangsa supaya dapat saling mengenal.
Saling pemahaman dan interaksi antara manusia telah lama berlangsung melalui pendekatan geografi sejak zaman klasik lagi dimana melalui penjelajahan dan pemetaan telah mendekatkan masyarakat yang dipisahkan oleh jarak. Kajian-kajian berkenaan sesebuah masyarakat di tempat-tempat tertentu telah membolehkan kita mengenali pelbagai budaya dan dapat memupuk sifat toleransi. Jelasnya kita dapat memahami cara hidup dan budaya masyakat eropah di barat, masyarakat eskimo di kutub utara atau masyarakat orang asli di New Guinea adalah melalui geografi.

2. Meramal dan merancang masa depan.

Dalam bidang geografi, yang paling penting dalam meramal perkara yang akan berlaku pada masa hadapan adalah penggunaan pendekatan yang saintifik dan sistematik. Didalam disiplin geografi fizikal, fenomena yang diramal contohnya adalah seperti cuaca dan bencana alam bagi merancang aktiviti dan menyelamatkan nyawa manusia. Menurut Willy H.K. Lee & Epimosa, J.M. (2003), teknologi paling terkini dalam memberi amaran awal gempa bumi adalah daripada beberapa saat sehingga sepuluh saat sebelum gegaran kuat dimana ianya telah berjaya menyelamatkan banyak nyawa dan harta benda.
Dalam disiplin geografi manusia pula kajian tentang penduduk, petempatan, kegiatan ekonomi dan sebagainya dapat meramal hala tuju sesebuah wilayah atau negara. Malahan maklumat-maklumat yang diperolehi mungkin akan mengubah dasar yang merancang perkembangan sesebuah negara.
Contoh paling jelas bagaimana kajian kependudukan mempengaruhi perkembangan negara adalah seperti yang pernah berlaku di Singapura. Pada tahun 1972, daripada unjuran pertumbuhan penduduk yang dilakukan, kerajaan Singapura mendapati pada masa hadapan mungkin akan berlaku perlimpahan penduduk yang tidak dapat ditampung oleh negara itu sama ada dari segi ruang fizikalnya mahupun ekonomi dan telah menyebabkan polisi satu pasangan dua anak dikuatkuasakan. Polisi-polisi yang tidak menggalakkan anak lebih dari dua diperkenalkan seperti tidak memberikan cuti bersalin dan insuran kesihatan untuk anak ketiga, menggalakkan pengguguran dan pemandulan dan didiskriminasi dalam sistem pendidikan. Akibatnya pada sekitar 1980-an kadar pertumbuhan telah jatuh di bawah paras yang diharapkan untuk kesinambungan populasi dan didapati sekiranya keadaan ini berterusan struktur umur penduduknya pada masa hadapan akan menghasilkan satu keadaan yang tidak produktif apabila golongan muda berkurangan berbanding golongan tua.
Melihat kepada perkembangan tersebut, kerajaan Singapura mengubah semula dasarnya apabila mempunyai keluarga lebih daripada 2 digalakkan. Bajet negara pada tahun 1990 telah memperkenalkan polisi-polisi yang menggalakkan anak lebih daripada dua dimana ia bertentangan dengan polisi yang diperkenalkan sebelum ini. Malahan kerajaan Singapura menawarkan untuk memberi kerakyatan kepada 100,000 orang penduduk cina Hong Kong apabila wilayah itu diserahkan kepada China pada tahun 1997. Menurut Fellmann, J.D et.al (1999) keadaan ini disebabkan kebimbangan akan kehilangan potensi pertumbuhan dan kekuatan negara yang bergantung kepada golongan muda serta tenaga kerja yang sepadan untuk menggantikan golongan tua.
Berdasarkan contoh yang berlaku di Singapura maka adalah jelas bagaimana maklumat geografi boleh mempengaruhi polisi kerajaan dan perkembangan negara tersebut dimana akhirnya ia mencorakkan struktur penduduknya. Tanpa membincangkan sama ada berlaku kesan positif atau negatif, dari kedua-dua keadaan sama ada situasi yang pertama atau kedua, apa yang boleh kita petik adalah bagaimana Singapura mengeksploitasi maklumat unjuran penduduknya untuk merancang pertumbuhan penduduk negara tersebut pada masa hadapan.

4. Pertanian, perindustrian dan perbandaran.

Pengkajian tentang pertanian, perindustrian dan perbandaran yang lebih sistematik telah diperkenalkan oleh ahli geografi melalui teori dan konsep tertentu seperti teori Von Thunen dalam pertanian, teori Weber dalam perindustrian dan model-model perbandaran yang diperkenalkan oleh Burgess, Hoyt, Harris dan lain-lain. Melalui pengkajian-pengkajian seperti ini dan dan lanjutan perbincangan dan kritikan keatasnya oleh ahli geografi terkemudian, proses mewujudkan satu habitat manusia dan kegiatanya dapat dikembangkan dengan lebih optimum, teratur dan sistematik.
Melalui geografi, isu-isu seperti perletakan, penyebaran dan pengkelasan diperbincangkan dalam pembangunan sesuatu ruang dimana hasil akhirnya akan mewujudkan satu habitat manusia yang teratur sama ada dari segi jaringan pengangkutannya, ekonomiknya, struktur sosial masyarakatnya dan ruang fizikalnya. Sekiranya dirujuk kepada kehidupan manusia, sumbangan geografi dalam pertanian, perindustrian dan perbandaran ini ternyata sangat besar terutamanya yang berkaitan dengan perletakan dan ruang. Di negara kita pendekatan ilmu geografi ini telah digunakan dalam pembangunan kawasan pertanian yang sistematik seperti pembangunan tanah rancangan Felda, pembangunan bandar baru dan kawasan-kawasan perindustrian.

5. Kartografi

Pengaruh paling asas geografi kepada manusia sejak dahulu adalah melalui pemetaan atau kartografi. Pada masa dahulu melalui pemetaan manusia dapat melakukan penjelajahan dan pelayaran dengan lebih berkesan malahan sehingga kini pemetaan dianggap sebagai “core business” dalam bidang geografi pada pandangan umum walaupun hakikatnya bidang geografi merangkumi disiplin yang kebih luas lagi.
Pada masa kini, teknik pemetaan telah berkembang dengan pesat dan kompleks sejajar perkembangan teknologi moden sehingga memajukan sebuah cabang disiplin geografi yang baru iaitu GIS (Geographical Information System) sekitar tahun 80an. (Robinson, G.M. 1998)
Melalui GIS, teknik kartografi telah berevolusi di mana sistem ini bukan sahaja terdiri daripada kartogarfi digital, malahan berpaut dengan data-data lain seperti maklumat demografi contohnya populasi, kepadatan dan komposisi serta maklumat fizikal yang lebih terperinci.
Kesimpulannya pemetaan yang dahulu kepentingannya kepada masyarakat hanya dari segi penentuan lokasi, kini telah semakin berkembang dengan kepelbagaian aplikasinya. Kemungkinan pada masa hadapan dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, aplikasi GIS akan digunakan dalam kehidupan seharian kita seperti pergerakan, trafik, cuaca dan keselamatan.

6. Pemeliharaan Alam sekitar

Sebagai satu bidang yang mengkaji hubungan manusia dengan alam, secara logiknya dengan ilmu geografi ia akan menjadikan kita lebih peka terhadap isu alam sekitar. Contoh paling mudah dengan memahami kitaran hidrologi, secara tidak langsung kita akan menghargai kewujudan hutan sebagai kawasan tadahan hujan. Kita mengetahui bahawa sekiranya kawasan tadahan ini diganggu ia akan menyebabkan gangguan terhadap sistem hidrologi tersebut dan akhirnya akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, banjir lumpur dan gangguan terhadap sistem sungai juga sumber air. Kita juga mengetahui pembebasan gas rumah hijau yang keterlaluan ke atmosfera akan menyebabkan berlakunya pemanasan global dan mempunyai kesan buruk kepada hidupan di bumi termasuk manusia.
Secara ringkasnya geografilah yang dapat menjadikan seseorang itu lebih mengambil berat terhadap alam sekitar dan dapat pula melihatnya dalam konteks yang lebih terperinci, saintifik dan jelas supaya dapat dijadikan hujah yang berkesan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat umum tentang pentingnya menjaga alam sekitar.

3.0 RUMUSAN

Secara keseluruhannya dapatlah dirumuskan bahawa geografi sememangnya sangat penting dalam mempengaruhi kehidupan manusia kerana geografi itu sendiri sentiasa berubah mengikut zaman serta perkembangan teknologi dan ilmu.
Stuckey, W.K (1971) menyatakan bahawa geografi adalah berkenaan apa yang manusia buat, apa yang manusia mahu, bagaimana manusia berubah dan bagaimana persekitaran fizikal mengubah manusia lalu merumuskan bahawa; “Geography lives!”




BIBLIOGRAFI

Armbruster, B.B, Mitsakos & C.L, Rogers, V.R. (1983) Earth’s geography and environment. Lexington, Massachusetts : Ginn and Company

Earl, B.S. (1967) Fundamentals of geography. U.S.A : John Wiley & sons,Inc

Fellmann, J.D, Getis, A. & Getis, J. (1999) Human Geography : Landscapes of human activities. USA: McGraw-Hill Companies, Inc.

James, P.E & Martin, G. J. (1991). Dunia Serba Mungkin: Sejarah idea geogafi. Terj. Mahindar Santokh Singh. Kuala Lumpur : DBP.

Katiman Rosman (2002) Prinsip asas persekitaran manusia. Bangi : Penerbit U.K.M

Robinson, G.M . (1998). Method and techniques in human geography. England: John Wiley & sons,Inc

Stuckey W.K. (1971). Geography lives!. Dlm. Ball, J.M, Streinbrink, J.E dan Stoltman, J.P (editor). The sosial sciences and geographic education : a reader. Hlm. 307-313. Toronto: John Wiley & sons,Inc

Tim Unwin . (1992). The place of geography. England: Longman Group Limited

Willy H.K. Lee & Epimosa, J.M. (2003). Earthquake early system warning: current status and perspective. Dlm. Zchan, J. & Kuppers, A.N. (pnyt). Early warning system for natural disaster reduction. New York : Springer-Verlag Berlin heildelberg.

Geography. (2006) (atas talian) http://en.wikipedia.org/wiki/Geography (15 januari 2006).


Baca Selengkapnya!

Thursday, May 25, 2006

PENGENALAN KEPADA GEOGRAFI

Diterjemah secara bebas daripada petikan di dalam prolog dalam buku :Strahler, A.H & Strahler, A. (2000) Introducing physical geography. New York : John Wiley & Sons, Inc.


Jam ke-800, 17 Disember 2050, waktu Houston, dan tugas rondaan anda baru sahaja bermula. Mengambil tempat di meja kawalan makmal alam sekitar, anda memeriksa keseimbangan oksigen dan karbon dioksida serta meneliti tekanan dan konsenstrasi wap air dalam buku log pada cerapan rondaan sebelum ini. Semuanya dalam keadaan baik. Anda beredar dari meja anda dan berpusing. Tolakan kecil pada kaki kiri menghasilkan langkah yang agak besar namun menyenangkan. Anda berdiri dihadapan cermin pandang, memerhati keluar merentasi pandangan bulan. Tidak banyak pemandangan menarik di Pengkalan Lunar Alpha, sekurang-kurangnya tidak seperti sewaktu anda berada di tengah-tengah malam lunar yang panjang. Tetapi dalam gelap angkasa di atas sana, anda terpadang satu pemandangan agung – cakera besar berwarma biru, hijau dan perang, diliputi oleh pusaran dan selaput putih. Ia adalah Bumi, rumah anda.
Melalui pandangan anda, alam sekitar bumi dengan mudah dapat dikenalpasti dengan warnanya. Warna biru adalah dunia lautan – hidrosfera – mendominasi keseluruhan cakera. Warna perang adalah litosfera – bahagian tanah pejal – kawasan yang tinggi dari aras laut. Awan putih yang mengembang bentuknya dan luntur dalam ruang yang dipenuhi gas – atmosfera. Hijau subur tumbuhan adalah bahagian biosfera yang boleh tampak, daerah hidupan di bumi, yang mendominasi lapisan kehidupan – yang menjadi penghubung antara udara, tanah dan lautan.
Di sebelah kiri cakera diselubungi bayang, dan anda melihat perbezaan dramatik diantara bahagian malam dan siang. Tanah dan air di bahagian terang disirami oleh pancaran matahari, dimana suhu lapisan kehidupan di situ sedang meningkat. Walaubagaimanapun, di bahagian yang gelap diliputi bayang, lautan, atmosfera, dan benua semakin hilang habanya, disebarkan ke ruang angkasa. Tanpa matahari permukaan bumi akan menyejuk.
Beberapa jam kemudian, anda mula menyedari pusingan perlahan planet tersebut. Benua Amerika Selatan meluncur melintang dari tengah cakera ke pinggirnya, kemudian menghilang. Australia muncul dari balik tirai malam bergerak ke bahagian cerah cakera. Sebagaimana yang anda perhatikan, setiap tanah daratan dan air perlahan-lahan mengambil tempat mengadap matahari, menyerap dan memantulkan kuota tenaga solar.
Afrika dan Amerika Selatan menerima habuan paling besar pancaran matahari ke bumi. Benua ini terletak berhampiran garisan katulistiwa, dimana ia menerima pancaran yang paling kuat, hampir vertikal dengan matahari. Amerika Utara dan Eropah, dalam keadaan berbeza, menerima kurang pancaran disebabkan kedudukannya yang bersudut lebih rendah. Di pinggir paling bawah cakera bumi, benua tandus antartika yang putih berputar perlahan tetapi sentiasa disinari matahari, sedang mengalami hari siang 24 jam. Sepanjang hari-hari di bumi berlalu, anda selalu memerhatikannya, mengenalpasti perubahannya. Agak jauh dari khatulistiwa sekumpulan awan besar berbentuk pusaran, terlerai, membentuk semula di atmosfera, dan bergerak ke arah timur melintasi cakera. Bahagian pertama benua, dan kemudian yang seterusnya, telah pudar...


Baca Selengkapnya!

Sunday, April 09, 2006

MESYUARAT AGUNG KE-5

MESYUARAT AGUNG
PERSATUAN GEOGRAFI
KALI KE-5
SESI 2006 / 2007


HARI : RABU
TARIKH : 5 APRIL 2006
MASA : 8.00 – 11.00 MALAM
TEMPAT : DEWAN KULIAH C


TENTATIF PROGRAM

8.00 – 8.10 : Pendaftaran
8.15 – 8.30 : Ucapan Pengerusi Majlis
Nyanyian Negaraku & Ibu Kandung Suluh Budiman
Bacaan doa
8.25 – 8.30 : Ucapan Presiden
Pengesahan Minit Mesyuarat Ke- 4
8.30 – 8.35 : Ucapan Penasihat Persatuan Geografi, UPSI
8.35 – 8.40 : Ucapan Ketua Jabatan Geografi, FSSK
8.40 – 9.00 : Rehat
9.00 – 9.15 : Perbentangan Laporan Aktiviti
9.15 – 9.30 : Perbentangan Laporan Kewangan
9.30 – 9.40 : Usul-usul berbangkit
9.40 – 10.20 : Pembubaran Jawatankuasa 2004/2006
10.20 – 10.30 : Perlantikan Jawatankuasa Baru 2006/2007
10.30 – 10.35 : Ucapan Dasar Presiden Baru
Penangguhan Minit Mesyuarat ke -5
10.35 – 10.45 : Jamuan dan Bersurai


EXCO PERSATUAN 2004/2006

Sabri Mohd Nor
Presiden

Nik Mohd Zaki Nik Mohamad
Naib Presiden

Zulhazlia Zulkifli
Setiausaha Kehormat

Azniza Azmi
Naib Setiausaha

Bibi Sabariah abu Bakar
Bendahari Kehormat

Nor Aishah Abdul Rahim
Naib Bendahari

Nobert bin Peter Rospin
Pengerusi Biro Akademik

Rauzan Mat
Pengerusi Biro Teknikal dan Multimedia

Rosmaniza Ibrahim
Pengerusi Biro Penerbitan dan Publisiti

Abdul Aziz Ramli
Pengerusi Biro Lawatan dan Pengangkutan

Hafizam Abdul Latif
Pengerusi Biro Makanan dan Jamuan

Azarudin Musa
Pengerusi Biro Khidmat Masyarakat

Mohd Sabri Ahmad
Pengerusi Biro Sukan dan Rekreasi

Mohd Rizal Mahmud
Pengerusi Biro Tugas-Tugas Khas

Irwan Misdon
Pengerusi Biro Kebajikan, Moral & Sahsiah

Siti Salwa Ahmad Suhaimi
Pengerusi Biro Tajaan, ekonomi & Keusahawanan



AKTIVITI-AKTIVITI PERSATUAN SEPANJANG 2004/2006

PROGRAM/ MAJLIS

Jalinan Mesra
-Sept. 2004

Jamuan Hari Raya dan Perjumpaan Bersama Pelajar Semester 1 sesi 2004/2005
-Dis. 2004

Perjumpaan Jabatan dan Persatuan Geografi Dengan Pelajar Major Geografi
-Jan. 2005

Lawatan ke Cameron Highland
-Jan. 2005

Bengkel Exco
-Feb. 2005

Hari Integrasi Kuala Woh
-Ogos 2005

Perjumpaan Jabatan dan Persatuan Geografi Dengan Pelajar Major Geografi
-Ogos 2005

Minggu Geografi dan Alam Sekitar
-Sept. 2005

XPDC Yan & Langkawi
-Feb. 2006

Tautan Muhibbah
-Mac 2006

Perlawanan Persahabatan Bolasepak (Geografi FC)
-Sepanjang Semester 04/05


Baca Selengkapnya!